Soal Jawab PCOS

Ada PCOS, Masih Boleh Mengandung Ke? Ini Jawapan Pakar untuk Mama!

Ada PCOS, Masih Boleh Mengandung Ke? Ini Jawapan Pakar untuk Mama!

Ramai mama yang baru dapat tahu mereka ada PCOS terus rasa risau dan gelisah — bermacam-macam fikiran bermain dalam minda. “Habis tu, aku boleh mengandung ke tak ni?” Soalan ini memang selalu timbul sebab PCOS sering dikaitkan dengan masalah kesuburan. Tapi betul ke PCOS ni sama dengan tak subur?

1. Apakah beza antara PCOS dan endometriosis?

PCOS vs Endometriosis
Sumber: Kelab Mama
PCOS vs Endometriosis
Sumber: Kelab Mama

Walaupun kedua-duanya melibatkan masalah haid, punca dan cirinya berbeza:

PCOS:

  • Disebabkan oleh gangguan hormon.
  • Tanda utama ialah haid tidak teratur, jarang atau tiada langsung, biasanya tanpa sakit kuat.
  • Diagnosis dibuat melalui ujian darah (FSH, LH, androgen, insulin) dan imbasan ultrasound.

Endometriosis:

  • Berlaku apabila tisu seperti lapisan rahim tumbuh di luar rahim.
  • Tanda utama ialah haid sakit, banyak tetapi tetap datang, disertai sakit pelvis yang semakin teruk dari masa ke masa.
  • Diagnosis biasanya melalui laparoskopi, dengan bantuan ultrasound atau MRI.

2. Betulkah PCOS bermaksud seseorang wanita susah atau hampir mustahil untuk hamil?

Tidak benar. Ramai wanita dengan PCOS boleh hamil sama ada secara semula jadi atau dengan rawatan ringkas.

Perubahan gaya hidup seperti diet sihat, senaman dan penurunan berat badan boleh bantu meningkatkan kesuburan. Jika perlu, ubat rangsangan ovulasi seperti Clomiphene atau Letrozole digunakan.

Dalam kes lebih mencabar, IVF (in-vitro fertilization) boleh memberi hasil yang baik. Kesimpulannya, PCOS boleh menyukarkan kehamilan, tetapi bukan bermaksud mandul.

3. Adakah benar wanita yang menghidap PCOS peluangnya untuk mengandung sangat tipis?

Tidak semestinya. PCOS menyebabkan subfertiliti (sukar hamil), tetapi bukan masalah ketidaksuburan kekal.

Faktor yang menyukarkan kehamilan termasuk:

  • Ovulasi yang tidak teratur atau langsung tiada.
  • Gangguan hormon (paras androgen tinggi, rintangan insulin) yang menjejaskan kualiti telur.
  • Masalah metabolik seperti obesiti dan diabetes.

Dengan rawatan serta penjagaan yang rapi, kebanyakan wanita dengan PCOS masih mempunyai peluang besar untuk hamil.

4. Adakah benar wanita yang menghidap PCOS peluangnya untuk mengandung sangat tipis?

Pcos Ovulasi
Sumber: Kelab Mama

Tidak semestinya. PCOS menyebabkan subfertiliti (sukar hamil), tetapi bukan masalah ketidaksuburan kekal.

Faktor yang menyukarkan kehamilan termasuk:

  • Ovulasi yang tidak teratur atau langsung tiada.
  • Gangguan hormon (paras androgen tinggi, rintangan insulin) yang menjejaskan kualiti telur.
  • Masalah metabolik seperti obesiti dan diabetes.

Dengan rawatan serta penjagaan yang rapi, kebanyakan wanita dengan PCOS masih mempunyai peluang besar untuk hamil.

5. Terdapat kepercayaan bahawa PCOS akan hilang selepas seseorang wanita berkahwin atau selepas mempunyai anak. Adakah kenyataan ini benar dari sudut perubatan?

Ini adalah mitos. Dari sudut perubatan, PCOS tidak hilang selepas kahwin atau mengandung. Ini adalah masalah hormon dan metabolik yang berpanjangan sepanjang hayat.

Ada wanita yang kitaran haidnya jadi lebih teratur selepas bersalin, tetapi gangguan hormon dan risiko jangka panjang seperti:

  • Diabetes
  • Kolesterol tinggi
  • Penyakit jantung
  • Kanser endometrium

Masalah kesuburan boleh berulang di masa depan. Perkahwinan atau kehamilan tidak menyembuhkan PCOS — hanya sesetengah gejala mungkin reda buat sementara waktu.

6. Ramai pesakit PCOS rasa rendah diri akibat jerawat teruk, rambut gugur atau berat badan naik mendadak. Bagaimana masalah ini boleh mempengaruhi emosi mereka?

Simptom fizikal PCOS seperti jerawat, keguguran rambut, kenaikan berat badan atau bulu berlebihan (hirsutisme) boleh menjejaskan keyakinan diri dan imej badan wanita.

Kesan psikologi yang biasa termasuk:

  • Rasa rendah diri
  • Kebimbangan (anxiety) dan kemurungan (depression)
  • Rasa malu hingga menarik diri daripada pergaulan
  • Takut tidak boleh mengandung
  • Tekanan dalam hubungan jika pasangan atau keluarga kurang faham

Oleh itu, rawatan PCOS perlu merangkumi aspek emosi dan psikologi, bukan hanya fizikal.

7. Sejauh mana PCOS boleh meningkatkan risiko penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi, atau kanser rahim?

Selain menjejaskan haid dan kesuburan, PCOS berpotensi meningkatkan risiko penyakit jangka panjang apabila tidak dikawal dengan baik, antaranya:

  • Diabetes jenis 2 akibat rintangan insulin.
  • Sindrom metabolik (obesiti, tekanan darah tinggi, kolesterol tidak normal) yang meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.
  • Kanser endometrium (rahim).
  • Sleep apnea, kemurungan, dan komplikasi kehamilan seperti keguguran atau preeklampsia.

8. Bagaimana cara realistik untuk menguruskan harapan bagi wanita PCOS yang sedang TTC (Trying to Conceive)?

Dengan menetapkan harapan yang realistik, wanita boleh mengurangkan stres dan lebih kuat menghadapi cabaran tanpa rasa gagal.

  • Kehamilan mungkin mengambil masa dan memerlukan rawatan berperingkat — bermula dengan perubahan gaya hidup, diikuti ubat oral, suntikan hormon, dan jika perlu, IVF.
  • Tidak semua cubaan akan berjaya; kadangkala banyak percubaan diperlukan.
  • Kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.

Wanita dengan PCOS digalakkan mengamalkan self-care, mengawal stres, serta mengekalkan kehidupan yang seimbang melalui kerjaya, hobi, dan hubungan sosial, walaupun sedang melalui perjalanan kesuburan.

9. Bagi pesakit yang mengalami masalah kesuburan akibat PCOS, adakah rawatan seperti IVF merupakan satu-satunya jalan penyelesaian?

Tidak. IVF biasanya menjadi pilihan terakhir. Ramai wanita dengan PCOS masih boleh hamil melalui rawatan yang lebih ringkas:

  • Perubahan gaya hidup (kurangkan berat, diet seimbang).
  • Ubat rangsangan ovulasi.
  • Ubat kawal insulin (contohnya Metformin).
  • Suntikan hormon.
  • Ovarian drilling (pembedahan kecil, jarang digunakan kini).

IVF hanya dipertimbangkan jika rawatan lain gagal, ada masalah lain (tiub fallopio tersumbat, masalah sperma), atau faktor umur yang mendesak.

10. Banyak perkongsian di media sosial kata PCOS boleh dirawat secara semula jadi, contohnya dengan jamu, diet tertentu atau minuman detox. Adakah ini betul atau sekadar mitos?

Pcos
Sumber: Kelab Mama

Kebanyakan ini hanyalah mitos.

  • PCOS adalah masalah hormon dan metabolik kronik—tidak boleh “dibersihkan” atau “dibuang” dengan minuman detox.
  • Diet sihat dan gaya hidup seimbang boleh kawal simptom, tapi bukan penawar kekal.
  • Sesetengah suplemen atau herba mungkin membantu sebagai tambahan, tetapi tidak menggantikan rawatan perubatan.
  • Teh atau minuman detox semata-mata adalah tidak berkesan.

Sentiasa rujuk doktor sebelum cuba rawatan alternatif.

11. Adakah PCOS mempunyai kaitan dengan faktor genetik? Jika seorang ibu menghidap PCOS, adakah anak perempuannya berisiko tinggi untuk menghidapinya juga?

Ya, PCOS boleh berlaku dalam keluarga. Keadaan ini biasanya dipengaruhi oleh lebih daripada satu faktor, termasuk genetik dan persekitaran.

Anak perempuan kepada ibu yang ada PCOS memang berisiko lebih tinggi, tetapi sama ada dia akan menghidapinya bergantung pada gabungan faktor genetik dan gaya hidup.

12. Selain ubat-ubatan, apakah cara gaya hidup yang boleh bantu pesakit PCOS untuk bantu mereka kembali sihat semula?

Rawatan PCOS bermula dengan pengurusan gaya hidup. Cara ini membantu kesuburan, mengawal simptom, dan mencegah risiko jangka panjang seperti diabetes, sakit jantung dan kanser.

Amalan Penting untuk Wanita dengan PCOS:

  • Pemakanan sihat: Kurangkan gula dan karbohidrat diproses, lebihkan makanan tinggi serat, dan amalkan makanan anti-radang seperti ikan berlemak, sayuran hijau, dan kunyit.
  • Senaman berkala: Lakukan sekurang-kurangnya 150 minit seminggu dengan gabungan senaman aerobik dan latihan kekuatan.
  • Pengurusan stres & tidur mencukupi: Amalkan yoga, meditasi, atau aktiviti relaksasi, serta pastikan rehat yang cukup.
  • Kawal berat badan: Penurunan 5–10% berat badan sudah mampu memberi kesan positif terhadap kitaran haid dan kesuburan.
  • Elakkan tabiat berisiko: Berhenti merokok dan hadkan pengambilan alkohol.
  • Pantau kesihatan secara berkala: Catat kitaran haid, berat badan, serta lakukan pemeriksaan gula darah dan tekanan darah secara rutin.
Dr Madhulika Women Specialist Klang
Dr. C. B. Madhulika, Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Bukit Tinggi Medical Centre (BTMC)

Sumber: Kelab Mama