KESUKARAN menyikat rambut, menyarung baju atau mengangkat tangan untuk mencapai barang di tempat tinggi mungkin kelihatan seperti masalah kecil.
Bagaimanapun, jika pergerakan bahu semakin terbatas dan kesakitan berlarutan, keadaan itu boleh menjadi petanda bahu beku (frozen shoulder) yang memerlukan pemeriksaan serta rawatan bersesuaian.
Bahu beku atau adhesive capsulitis berlaku apabila kapsul yang mengelilingi sendi bahu mengalami keradangan, menebal dan menguncup sehingga menyebabkan kesakitan serta kekakuan.
Keadaan itu lazimnya berkembang secara beransur-ansur, menyebabkan sesetengah individu tidak menyedari perubahan pergerakan bahu mereka sehinggalah aktiviti harian mula terjejas.
Perunding Pakar Bedah Ortopedik, Trauma dan Tulang Belakang Bukit Tinggi Medical Centre (BTMC), Dr Avthar Singh, berkata bahu beku kerap berlaku dalam kalangan orang dewasa berusia antara 40 hingga 60 tahun, khususnya mereka yang menghidap diabetes.

"Pada peringkat awal, pesakit mungkin hanya mengalami kesakitan ringan atau sedikit kesukaran mengangkat tangan sebelum kekakuan menjadi semakin ketara.
"Mereka menganggap keadaan itu sekadar lenguh otot biasa. Apabila kekakuan bertambah teruk dan pergerakan semakin terhad, barulah mereka menyedari kesukaran mengangkat tangan," katanya.
Beliau berkata, bahu beku lazimnya berkembang melalui tiga fasa, iaitu fasa menyakitkan (freezing phase), fasa kaku (frozen phase) dan fasa pemulihan (thawing phase).
Pada fasa pertama, kesakitan semakin meningkat dan pergerakan bahu beransur-ansur menjadi terhad.
Kesakitan boleh mengganggu tidur, terutama apabila pesakit berbaring pada bahu yang terjejas.
Fasa kedua pula menyaksikan bahu menjadi semakin kaku dan sukar digerakkan, walaupun kesakitan mungkin mula berkurangan.
Dalam fasa pemulihan, pergerakan bahu kembali pulih secara beransur-ansur.
"Tempoh setiap fasa berbeza mengikut individu dan keseluruhan proses pemulihan boleh mengambil masa yang agak lama," katanya.
Menurut Dr Avthar, bahu beku tidak semestinya berpunca daripada kecederaan kerana kebanyakan kes boleh berlaku tanpa kecederaan, pembedahan atau punca yang jelas.
Bagaimanapun, individu yang mengalami kecederaan, menjalani pembedahan atau terpaksa mengehadkan pergerakan bahu untuk tempoh lama turut berisiko mengalami keadaan itu.
Beliau berkata, antara tanda yang perlu diberikan perhatian termasuk kesukaran mencapai barang di tempat tinggi, memakai atau menanggalkan pakaian, menyikat rambut serta menjangkau ke belakang badan.
Malah, pergerakan mudah seperti mencapai tali pinggang atau mengambil barang dari tempat duduk belakang kereta juga boleh menjadi sukar.
"Kesakitan yang mengganggu tidur serta pergerakan bahu yang semakin terbatas tidak seharusnya dipandang ringan, terutama jika gejala berlarutan atau semakin teruk," katanya.
Mengulas faktor risiko, Dr Avthar berkata, selain usia, diabetes dikenal pasti sebagai antara faktor penting yang dikaitkan dengan bahu beku.
Katanya, individu yang menghidap diabetes lebih cenderung mengalami masalah berkenaan dan sesetengah pesakit boleh mengalami kekakuan pada kedua-dua belah bahu, sama ada secara serentak atau berperingkat.
Menurutnya, paras gula dalam darah yang tidak terkawal dalam jangka panjang boleh menjejaskan tisu perantara dan dikaitkan dengan perubahan pada kapsul sendi, sekali gus meningkatkan kecenderungan bahu menjadi kaku.
"Selain diabetes, individu yang mengalami gangguan tiroid serta mereka yang pernah mengalami kecederaan, menjalani pembedahan atau tidak menggerakkan bahu untuk tempoh lama turut perlu berwaspada.
"Wanita berusia 40-an hingga 50-an juga antara golongan yang perlu peka terhadap gejala berkenaan, manakala perubahan hormon ketika peralihan menopaus mungkin menjadi salah satu faktor yang menyumbang," katanya.
Dr Avthar berkata, individu yang pernah mengalami bahu beku juga berisiko mengalaminya pada bahu sebelah lagi pada masa hadapan, justeru, golongan berisiko khususnya pesakit diabetes, disarankan supaya mendapatkan pemeriksaan sekiranya mula mengalami kesakitan atau kekakuan yang menjejaskan pergerakan bahu.
Katanya, langkah awal yang boleh dilakukan sekiranya masih belum sempat berjumpa doktor, pesakit boleh melakukan pergerakan perlahan bagi mengelak bahu menjadi semakin kaku, gunakan tuaman sejuk jika bahu terasa sakit atau mengalami keradangan.
"Tuaman hangat boleh digunakan jika ia membantu mengurangkan kekakuan, tetapi elakkan suhu yang terlalu panas, ampu lengan dengan selesa semasa tidur dan elakkan baring di atas bahu yang sakit.
"Ubat tahan sakit atau ubat antikeradangan boleh dipertimbangkan jika sesuai, sebaik-baiknya selepas mendapat nasihat daripada doktor atau ahli farmasi dan elakkan regangan yang agresif atau meminta orang lain menarik atau memusingkan bahu secara paksa.
"Urutan atau ubat sapu panas mungkin memberikan kelegaan sementara bagi sesetengah pesakit, tetapi ia tidak merawat punca sebenar masalah tersebut," katanya.
Sementara itu, Perunding Pakar Ortopedik, Artroskopi dan Pembedahan Sukan BTMC, Dr Siva Thangaraju, berkata diagnosis bahu beku lazimnya dibuat berdasarkan sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal, termasuk penilaian julat pergerakan bahu.

Beliau berkata, pemeriksaan penting bagi memastikan kesakitan dan kekakuan yang dialami benar-benar berpunca daripada bahu beku kerana masalah tendon, artritis atau gangguan lain juga boleh menyebabkan gejala hampir sama.
"Imbasan sinar-X mungkin digunakan untuk membantu menolak kemungkinan masalah sendi lain, manakala pengimejan resonans magnetik (MRI) tidak diperlukan secara rutin, kecuali jika terdapat syak wasangka terhadap masalah lain seperti koyakan pada otot rotator (rotator cuff tear)," katanya.
Menurutnya, rawatan bergantung pada fasa penyakit dan tahap keseriusan gejala, dengan pendekatan yang boleh merangkumi ubat tahan sakit, fisioterapi, senaman di rumah serta suntikan steroid ke dalam sendi bagi pesakit terpilih.
"Majoriti pesakit bahu beku boleh dirawat tanpa pembedahan. Matlamat rawatan adalah untuk mengawal kesakitan, memulihkan pergerakan secara beransur-ansur dan mengembalikan keupayaan pesakit melakukan aktiviti harian.
"Pembedahan hanya dipertimbangkan bagi sebilangan kecil pesakit yang masih mengalami kekakuan dan gejala ketara walaupun sudah menerima rawatan bersesuaian. Berjumpa pakar bedah bahu tidak semestinya bermakna seseorang perlu menjalani pembedahan," katanya.
Dr Siva berkata, pesakit disarankan memastikan bahu sentiasa bergerak menerusi senaman regangan ringkas dan senaman julat pergerakan (range-of-motion) yang dilakukan secara konsisten.
Bagaimanapun, pesakit perlu mengelakkan manipulasi paksa atau mengulangi pergerakan yang menyebabkan kesakitan teruk kerana pemulihan berlaku secara beransur-ansur.
"Konsistensi jauh lebih penting daripada cuba memulihkan keseluruhan pergerakan secara tergesa-gesa," katanya.
Mengulas penjagaan pesakit diabetes, beliau berkata, golongan berkenaan memerlukan perhatian tambahan kerana bahu beku boleh berlarutan lebih lama dan proses pemulihan mungkin mengambil masa lebih panjang.
Katanya, jika suntikan steroid diberikan kepada pesakit diabetes, paras gula dalam darah perlu dipantau kerana rawatan berkenaan boleh menyebabkan peningkatan sementara.
Dalam pada itu, Dr Siva mengingatkan tidak semua kesakitan atau kekakuan bahu berpunca daripada bahu beku.
Beliau berkata, pemeriksaan perlu dilakukan jika kesakitan berterusan sehingga mengganggu tidur dan aktiviti harian, terutama jika gejala bermula selepas kecederaan atau disertai kelemahan otot yang ketara.
"Pemeriksaan awal tidak semestinya memerlukan imbasan MRI, suntikan atau pembedahan. Tujuannya adalah untuk mendapatkan diagnosis yang tepat dan memulakan rawatan bersesuaian.
"Bahu beku boleh dirawat dan majoriti pesakit tidak memerlukan pembedahan. Perkara paling penting ialah mendapatkan diagnosis yang betul, menjalani rawatan mengikut fasa penyakit dan memberikan masa untuk bahu pulih. Pastikan bahu sentiasa bergerak, tetapi jangan memaksanya," katanya.
Bahu beku biasanya terjadi secara perlahan dari semasa ke semasa dan boleh bertahan dari beberapa bulan hingga beberapa tahun.
Sakit
Simptom yang paling jelas bagi bahu beku ialah sakit yang tajam atau kurang dirasai yang bertambah teruk apabila menggerakkan bahu.
Kaku dan mobiliti terhad
Terdapat juga pengurangan ketara dalam julat pergerakan bahu yang menjadikan anda sukar menggerakkan lengan ke arah tertentu atau melakukan aktiviti mudah seperti menyikat rambut atau mencapai objek.
Kelemahan
Disebabkan oleh kesakitan, kaku dan pergerakan terhad, otot di sekeliling bahu mungkin menjadi lebih lemah yang membawa kepada lebih kesukaran dalam melakukan aktiviti harian.
Sumber: Berita Harian