Kenapa Anak Perlukan Vaksin Booster Walaupun Dah Vaksin Dos Pertama?
Kenapa Anak Perlukan Vaksin Booster Walaupun Dah Vaksin Dos Pertama?
Ramai Mama Papa tertanya-tanya, “Bila anak dah cucuk vaksin sekali, bukankah itu dah cukup untuk melindungi daripada penyakit? Kenapa masih kena vaksin booster lagi?”
Soalan ni sangat biasa ditanya, dan penting untuk kita faham sebab ia melibatkan perlindungan anak dalam jangka masa panjang. Vaksin ibarat “latihan ketenteraan” untuk sistem imun anak dengan suntikan pertama memberi pengenalan, tapi untuk pastikan askar-askar imun kuat dan bersedia lawan penyakit, mereka perlu “latihan tambahan” iaitu booster.
Bagi menjawab kekeliruan Mama Papa tentang vaksin booster ini, Dr. Jovitra Girubaharan, Pakar Perunding Pediatrik di Bukit Tinggi Medical Centre (BTMC), akan berkongsi kenapa vaksin booster tetap penting walaupun anak sudah menerima vaksin dos pertama.
Dr. Jovitra Girubaharan, Pakar Perunding Pediatrik
1. Kenapa masih perlu cucuk booster walaupun dah cucuk sekali?
Vaksin memainkan peranan untuk menaikkan tahap antibodi badan kita terhadap sesuatu kuman yang spesifik. Cara kerja pembentukan antibodi tersebut ialah dengan kenaikkan tahap antibodi di dalam badan secara berfasa.
Dengan dos pertama, vaksin akan memulakan proses pembentukan antibodi jangka masa pendek dan dengan dos kedua dan seterusnya antibodi jangka masa panjang akan dihasilkan yang dipanggil built-in memory. Dos booster memainkan peranan penting kerana dalam tempoh masa yang panjang tahap antibodi badan kita akan menurun dan tahap yang rendah ini mungkin tidak mencukupi untuk menghalangi suatu penyakit.
2. Adakah vaksin berulang-ulang lebih berbahaya (risiko kesan sampingan)?
Tidak — dos booster vaksin tidak berbahaya. Vaksin hanya merupakan cebisan virus atau komponen kecil virus yang tidak boleh mendatangkan penyakit dan tidak boleh berreplika di dalam badan kita.
Jika kita mendapat penyakit sebenar, virus boleh berreplika dan merebak ke seluruh badan menyebabkan simptom dan komplikasi. Sebaliknya, vaksin membantu sistem imun mengenal dan bersedia tanpa menyebabkan penyakit itu sendiri.
3. Kenapa sesetengah vaksin perlu 2–3 kali, tapi ada yang satu dos sahaja?
Kebanyakan vaksin memerlukan dua dos untuk mencapai tahap imunisasi yang disarankan. Ada juga vaksin yang hanya satu dos kerana ia adalah live attenuated — iaitu vaksin separa hidup yang dilemahkan yang mampu merangsang tindakbalas imun yang kuat walaupun diberi sekali sahaja.
4. Kalau terlepas dos booster ikut jadual, kena mula semula ke?
Ya, ia masih selamat untuk diambil bila-bila masa. Kita tidak perlu mula semula dari dos pertama — dos yang terlepas boleh di-catch up dan sambung mengikut jadual vaksin KKM yang disarankan.
5. Adakah vaksin booster membuat sistem imun jadi “lemah”?
Tidak. Vaksin booster mendorong badan untuk mengingati semula antibodi yang perlu dihasilkan untuk melawan kuman tersebut. Ia umpama ulangkaji supaya sistem imun bersedia untuk bertindak apabila terdedah kepada kuman sebenar, mengurangkan risiko simptom teruk dan komplikasi.
6. Kenapa masih boleh terkena campak walaupun lengkap vaksin MMR?
MMR sangat berkesan — imuniti terhadap measles adalah sekitar 90% jika diberikan pada umur 9 bulan dan 95% jika pada umur 12 bulan. Namun jika ramai kanak-kanak terlepas vaksin, penularan dalam komuniti boleh meningkat dan menyebabkan viral load tinggi, sehingga kanak-kanak yang lemah imuniti boleh mendapat jangkitan walaupun sudah divaksin.
Jika semua kanak-kanak menerima MMR, komuniti membentuk herd protection yang melindungi bayi yang belum cukup umur dan kanak-kanak yang lemah sistem imun.
7. Sesuai tak beri booster dekat bayi yang “kecil” atau kurang sihat?
Kanak-kanak berbadan kecil biasanya tidak mempunyai masalah mengambil vaksin mengikut jadual KKM. Pemakanan yang baik, khususnya protein mencukupi, membantu sistem imun membentuk memori antibodi yang efektif.
Bagi kanak-kanak yang kurang sihat, digalakkan mengambil vaksin apabila sudah pulih kerana semasa sakit, sistem imun sedang bertarung dan mungkin kurang berupaya membentuk antibodi yang mencukupi jika divaksinkan pada waktu itu.
Tidak. Booster dos diberikan berdasarkan bukti saintifik dan risiko penyakit. Ia mengurangkan simptom serius dan komplikasi jangka panjang atau maut yang boleh berlaku akibat jangkitan. Bukti sejarah menunjukkan pemberian vaksin berjaya mengurangkan banyak penyakit berjangkit yang merbahaya.
9. Kenapa MMR 2 kali, manakala BCG sekali sahaja?
BCG diberikan sekali pada waktu lahir untuk melindungi TB meningitis dan miliary TB pada bayi. Kadar pemberian BCG yang tinggi (hampir 100% pada waktu lahir di Malaysia) telah memberikan perlindungan yang memuaskan. Analisis semula pemberian BCG sebagai booster setakat ini tidak menunjukkan perbezaan efikasi yang signifikan.
Manakala measles masih menunjukkan kejadian yang perlu diturunkan lagi — oleh itu MMR dua dos membantu meningkatkan perlindungan individu dan herd immunity.
10. Jika anak pernah disyaki ada demam campak ringan, kenapa masih perlu booster MMR?
Measles sebenar biasanya menunjukkan simptom yang ketara — demam tinggi selama beberapa hari, conjunctivitis dan komplikasi paru-paru. Banyak "demam campak ringan" sebenarnya adalah ruam virus lain. Oleh itu, pengalaman demam ringan tidak semestinya bermakna anak pernah dijangkiti measles sebenar. Vaksin MMR tetap disarankan untuk memastikan perlindungan sebenar dan mencegah komplikasi serius.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.