SUSU IBU, AIR KOSONG, AIR KELAPA DLL – PAKAR TERANGKAN GAYA PEMAKANAN BAYI & KANAK-KANAK YANG SEBETULNYA


Kita sering dengar pantang larang dan makanan yang baik untuk diberi kepada bayi. Petua-petua tradisional juga banyak memberian pemakanan yang bagus untuk kanak-kanak terutamanya bayi yang berusia 1 tahun kebawah.

Kerana keperluan badan yang tinggi untuk membesar, serta sistem imun dan fizikal yang sangat lemah, makanan yang diberikan kepada si manja Mama akan memberi impak yang besar – sama ada secara positif atau negatif.

Namun, apakah makanan yang terbaik untuk diberikan kepada bayi anda? Mama Siti berpeluang untuk menemubual Ms Huda Aiman Mohamad Shahir, Ketua Bahagian Dietetik dan Perkhidmatan Makanan, Pusat Perubatan Bukit Tinggi (BTMC) yang kongsikan dengan lebih lanjut berkenaan pemakanan bayi dan kanak-kanak.



MS Huda semasa sesi konsultasi diabetes bersama pesakit.

1. Benarkah pemberian susu formula pada si manja sejak lahir tidak sebagus susu ibu? 

Kredit gambar: HealthShots

Benar! Susu ibu adalah makanan yang sempurna dan terbaik untuk bayi. Susu ibu mengandungi jumlah nutrien yang sesuai dan lengkap untuk memberikan mereka proses tumbesaran yang lebih sihat.

Jika Mama mampu menyusukan bayi anda dengan susu ibu, ia adalah pilihan yang terbaik. Ia mudah dihadam berbanding suapan formula lain dan memberi antibodi semulajadi untuk mencegah jangkitan.

Walau bagaimanapun, ada sesetengah ibu mempunyai sebab tertentu yang menghalang mereka daripada menyusukan anak. Dalam hal ini, kebanyakan susu formula bayi yang diperakui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sememangnya merupakan alternatif terbaik kepada susu ibu bagi bayi yang sedang membesar.

Dan ia adalah tidak salah sama sekali untuk Mama memberi susu formula kepada si manja sekiranya tiada alternatif lain.

2. Adakah gaya pemakanan ‘tiada garam dan gula’ yang diterapkan sejak bayi menjadi penyebab kanak-kanak memilih makanan dan menjadi ‘picky eaters’? 

Makanan ‘tiada garam dan gula’ bukanlah penyebab ‘picky eaters’, malah mereka mungkin mengalami tabiat ini walaupun makanan ini diperkenalkan kepada mereka sejak dari peringkat awal lagi.

Selera rasa mereka berkembang melalui jenis makanan yang ditawarkan kepada mereka. Pilihan yang lebih baik dalah dengan membiasakan pemakanan yang sihat sejak kecil.

3. Masih ramai ibu bapa atau mereka yang lebih berusia fikirkan ianya perlu, dan tidak  menjadi masalah untuk berikan air kosong kepada bayi di bawah usia 6 bulan – boleh ke?

Kredit gambar: HealthyCHildren.org

Perut bayi agak kecil. Semasa kelahiran, perut bayi hanya boleh menampung 1 hingga 2 sudu teh, atau 5 hingga 10 mililiter (ml).

Ini jelas menunjukkan perut bayi akan cepat kosong — itulah sebabnya bayi anda memerlukan banyak penyusuan dalam tempoh 24 jam — perlu diingatkan untuk mengisi perut bayi yang kecil itu dengan susu ibu atau formula yang kaya dengan nutrien.

Akan terdapat satu risiko sekiranya memberi bayi anda air kosong iaitu anda akan mengisi perut mereka dengan bahan yang tidak berzat untuk bayi sehingga tiada ruang untuk vitamin, mineral, lemak dan kalori yang penting untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi.

4. Boleh Ms Huda kongsikan pengambilan air kosong dan jus (atau jenis minuman lain) yang baik untuk bayi 6 bulan ke atas dan kanak-kanak yang sedang membesar? 

Walaupun umur si manja menceceh usia 6 bulan ke atas, jumlah air yang diberikan kepadanya masih perlu dihadkan.

Hal ini dilakukan kepada mereka untuk mendapatkan rasa dan pengalaman meminum air itu sendiri dan bukannya untuk tujuan perubatan seperti penghidratan.

Perlu diingatkan, susu formula dan susu ibu sangat menghidratkan dan juga memberi si kecil anda apa yang mereka perlukan untuk perkembangan yang baik.

5. Adakah air kelapa boleh diberikan kepada bayi 1 tahun ke atas dan apakah ia bagus untuk kanak-kanak yang sedang membesar?

Kredit gambar: SirapLimau

Anda juga boleh mula memperkenalkan air kelapa dalam kuantiti yang kecil dan barangkali boleh dicairkan atau dicampurkan sekali dengan air kosong untuk menggalakkan anak-anak minum. Namun begitu, seeloknya pilih sahaja air kelapa kosong dan tanpa gula.

6. Apakah terdapat keperluan kandungan kalori secara spesifik dalam pemakanan bayi 6 bulan dan ke atas?

  • Lelaki: 
    • 6 – 8 bulan 630 kcal/ hari     
    • 9 – 11 bulan 720 kcal/hari 
  • Perempuan:
    • 6 – 8 bulan 570 kcal/ hari           
    • 9 – 11 bulan 660 kcal/hari

7. Dalam musim panas sekarang, apakah makanan dan minuman yang disyorkan untuk ‘picky eaters’ ?

  • Boleh cuba infused water
    • Tambah pelbagai buah-buahan dengan warna berbeza pada air untuk menarik perhatian mereka.
  • Popsikel atau aiskrim yang mempunyai campuran buah-buahan.
  • Smoothies.
  • Perkara-perkara ini bukan sahaja dapat menghidrasi, namun dapat juga mengubah selera bayi anda untuk suka makan buah-buahan.

Peringatan: Jaga pengambilan gula anak-anak untuk mengelakkan pelbagai kondisi kesihatan di masa akan datang.

8. Apakah pemakanan daripada sumber organik memberi kesan yang lebih baik pada perkembangan bayi berbanding sumber biasa?

Seperti yang kita sedia maklum, Diet Organik mempunyai kurang pendedahan terhadap racun perosak dan antibiotik tetapi dari segi nutrient makanan, ia adalah lebih kurang sama.

Di samping itu, tiada bukti perbezaan klinikal yang berkait antara organik dan konvensional serta kajian kukuh yang membuktikan makanan organik mengakibatkan kanak-kanak lebih sihat.

9. Adakah buah-buahan tempatan tidak mempunyai nilai nutrisi yang sama seperti buah-buahan berry? Boleh Ms Huda kongsikan buah-buahan tempatan yang bagus dalam gaya pemakanan bayi dan kanak-kanak?

Kredit gambar: Gardening Know How

Kebanyakan buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan, langsat dan lain-lain mempunyai jumlah serat dan vitamin yang baik, namun buah-buahan ini juga mengandungi paras gula yang tinggi yang boleh menyebabkan kerosakan gigi jika diberikan secara kerap atau dalam jumlah yang berlebihan.

Masih terdapat buah-buahan tempatan yang sesuai untuk kanak-kanak. Contohnya pisang, mangga, betik, buah naga dan jambu batu.

10. Boleh Ms Huda terangkan dengan lebih lanjut dan syorkan jenis hidangan yang bagaimana sesuai bagi bayi dengan gaya hidup keluarga di Malaysia?

‘Makanan pelangi’ melibatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang berbeza warna setiap hari.

Tumbuhan yang berbeza warna dikaitkan dengan tahap nutrien khusus dan memberi manfaat kesihatan yang lebih tinggi dan setiap warna menandakan nutrien berbeza yang diperlukan oleh badan kita.

Perkenalkan pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran kepada anak-anak anda. Masukkan dalam hidangan harian mereka sebagai hidangan lengkap seperti fruit sticks, popsikel dan juga sayuran bercampur lauk.

11. Adakah panduan pemakanan kanak-kanak yang berusia 7 tahun dan ke atas perlu berpandukan piramid makanan?

Ya, piramid makanan terkini seperti yang ditunjukkan di bawah khusus untuk kanak-kanak berumur 7 tahun ke atas.

Kredit gambar: The Star
  • 3 hidangan sayur-sayuran
  • 2 hidangan buah-buahan setiap hari
  • 3-5 hidangan karbohidrat kompleks
  • Pengambilan daging/ayam/ikan dan tenusu tanpa lemak yang mencukupi
  • Kurangkan
    • Garam
    • Gula
    • Makanan yang tinggi lemak.
  • Penghidratan:
  • 5-6 cawan air putih setiap hari.

12. Boleh Ms Huda kongsikan bagaimana ibu bapa boleh mengatasi atuk dan nenek yang memberi semua keinginan anak-anak serta nasihat yang paling sesuai mengenai hal ini.

Sudah menjadi satu kelaziman semua datuk dan nenek mahukan yang terbaik untuk cucu mereka. Namun, ibu bapa mempunyai hak dan perlu memainkan peranan untuk menghalang mereka daripada menawarkan/memberi makanan yang “tidak sihat” kepada anak.

Papa Mama boleh mulakan dengan mewujudkan kesedaran mengapa makanan itu tidak bagus dan kesannya kepada kanak-kanak. Selain itu, Papa Mama juga boleh menetapkan had dari awal dan kekal konsisten padanya.

Kongsi pengetahuan/maklumat tentang pemakanan kepada anak-anak anda supaya mereka boleh membuat keputusan yang lebih wajar tentang pemilihan makanan mereka.

Jika mereka faham tentang makanan yang tinggi gula dan garam tidak baik untuk kesihatan mereka, kemungkinan besar mereka tidak akan menerima makanan tersebut sekiranya ditawarkan.

Cari gula-gula yang lebih sihat dan yang bersesuaian. Pilih yang kurang gula, kurang pewarna dan jika boleh, pilih yang menggunakan 100% bahan buah-buahan segar.

Berkongsi tugas memasak untuk memberi datuk dan nenek sedikit sebanyak kepekaan ke atas pilihan makanan untuk keluarga.

Semoga perkongsian Ms Huda mengenai gaya pemakanan bayi dan kanak-kanak ini memberi manfaat kepada Mama dan Papa.


Bersempena dengan ulang tahun ke-7 Pusat Perubatan Bukit Tinggi (BTMC), Mama Papa boleh mendapatkan pakej kesihatan pada harga promosi yang menarik. Layari laman rasmi BTMC atau hubungi +6014 610 7107 untuk maklumat lanjut. 


Source: Kelab Mama